isu 3R kerajaan tebuk atap
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi menawarkan diri sebagai panel jika Ramkarpal Singh atau Tony Pua mahupun Mohammed Hanipa Maidin bersedia berdebat mengenai kes SRC International yang membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, beliau bukan hendak bergaduh sebaliknya mahu membetulkan fakta.

Jelasnya, kes mahkamah membabitkan Najib itu banyak yang meragukan.

Oleh itu itu, beliau meminta semua pihak merujuk balik penghakiman Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Tegas beliau lagi, jangan persoalkan hak Najib untuk mendapatkan pengampunan penuh.

Kata Puad lagi, jika Ramkarpal, Puad dan Hanipa alergik untuk ‘berdebat”, sesi itu boleh dipanggil ‘dialog”.

Beliau turut bertanya jika bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mahu tumpang semangkuk.

Kenyataan itu dibuat selepas Ramkarpal, Tony Pua dan Hanipa mengkritik keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman Najib dari penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM120 juta kepada RM50 juta.

Mereka antara lain membangkitkan kenyataan seorang hakim ketika perbicaraan yang menyifatkan kes itu sebagai memalukan negara.

Kian Ming membuat kenyataan bahawa kepimpinan DAP tidak seharusnya membisu mengenai pendirian mereka.

Sebaliknya, menurut beliau, pemimpin DAP harus mengulangi pendirian mereka mengenai skandal 1MDB, kes rasuah terbesar dalam sejarah Malaysia, yang menjadi modal kempen parti itu pada pilihan raya umum 2018 dan 2022.

Semalam, Ramkarpal pula berkata, keputusan bersalah Najib dalam kes SRC tidak diragui dan Najib bukan sahaja disabitkan bersalah oleh sembilan hakim, malah disifatkan sebagai “memalukan negara” oleh hakim Mahkamah Persekutuan.

Ramkarpal, yang juga pengerusi biro undang-undang DAP menggesa Lembaga Pengampunan menjelaskan alasannya memendekkan hukuman penjara 12 tahun Najib kepada enam tahun dan mengurangkan denda RM210 juta kepada RM50 juta.

Menurut kenyataan di Facebook Najib hari ini, sudah tiba masanya forum terbuka diadakan “untuk memaklumkan orang ramai dengan lebih baik dan membantu mereka membuat kesimpulan sendiri berdasarkan fakta”.

Bagaimanapun, Ramkarpal berkata, beliau enggan melayan cabaran debat berhubung keputusan mahkamah kes tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast