Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia membenarkan lawatan perjumpaan keluarga penghuninya sempena Perayaan Tahun Baru Cina kali ini pada hari ketiga dan keempat sambutan iaitu 12 dan 13 Februari ini.

Lawatan itu dibuka kepada keluarga termasuk di Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney, kata satu kenyataan Jabatan Penjara Malaysia hari ini.

Katanya, keutamaan lawatan diberi kepada keluarga penghuni penjara dalam kalangan kaum Cina sahaja dan perjumpaan ditetapkan menerusi dua kaedah iaitu secara bersemuka dan secara dalam talian (online/video call).

“Kaedah secara dalam talian akan dilaksanakan selama tiga hari bermula pada 14 hingga 16 Februari ini dan keluarga yang memilih kaedah bersemuka perlu mematuhi syarat-syarat iaitu waktu lawatan bermula dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang.

“Mereka dikehendaki membuat ujian RT-PCR atau ARTK-Ag (swab/saliva) dalam sah laku tiga hari selepas pengambilan sample dan tidak bergejala sebelum hadir ke institusi berkenaan.

“Selain itu, pelawat juga diminta membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan sementara pelawat tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman kepada penghuni kerana ia boleh dibeli di kantin penjara,” kata kenyataan yang sama.

Tambah Jabatan Penjara, para pelawat juga tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni memandangkan semua kemudahan asas telah disediakan.

Sekiranya pelawat ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya, mereka perlu mendapatkan resit rasmi PPT. 28 sebagai akuan penerimaan.

Selain itu, pelawat adalah tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara.

“Seorang penghuni penjara hanya dibenarkan untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada keluarga dan lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat temujanji sahaja,” katanya.

Terdapat tiga kaedah tempahan iaitu iaitu menerusi sistem i-Visit di laman web: www.prison.gov.my, panggilan telefon di institusi berkenaan dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan.

“Pihak institusi kemudian akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat oleh keluarga penghuni,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut selain maklumat institusi juga boleh diperoleh menerusi laman web Jabatan Penjara Malaysia www.prison.gov.my.- MalaysiaGazette