Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) telah meluluskan kenaikan tangga gaji jurulatih negara yang berkhidmat dalam Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Menteri berkenaan Hannah Yeoh berkata, kelulusan kertas kerja bagi penyelarasan jumlah gaji dan imbuhan baharu itu telah dilakukan hari ini dalam usaha memastikan pembaharuan ekosistem sukan tanah air.

“Kali terakhir kita buat pindaan tangga gaji ialah pada 2014 iaitu sepuluh tahun lepas, kalau kita tak kaji semula, jurulatih akan meninggalkan kita untuk ke luar negara.

“Kita akan beri tangga gaji yang baharu tahun ini. Ini adalah pembaharuan ekosistem untuk membantu atlet kita ke arah pencapaian lebih baik,“ katanya dalam Forum Sukan Wanita di Yayasan Sime Darby di sini hari ini.

Pada November lepas, KBS telah meminta MSN untuk mengkaji semula elaun jurulatih menerusi Skim Jurulatih Kebangsaan.

Dalam pada itu, MSN menerusi kenyataan memaklumkan jurulatih sepenuh masa yang berkhidmat untuk Program Podium dan Pelapis Kebangsaan akan menikmati kenaikan berdasarkan tahap kelayakan mengikut Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) dan tempoh pengalaman dalam bidang kejurulatihan.

Menurut MSN, kenaikan itu menyaksikan jurulatih dengan Sijil SPKK Tahap iaitu kelayakan tertinggi yang diperakui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan menikmati kenaikan gaji daripada RM4,500 sebulan kepada RM5,900 sebulan mengikut penyelarasan baharu itu.

“Untuk menggalakkan lebih ramai bekas atlet negara menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan, imbuhan gaji tambahan diberi berdasarkan tahap pencapaian terbaik ketika bergelar atlet.

“Elaun khas berjumlah RM600 juga diluluskan untuk semua jurulatih Program Podium dan Pelapis Kebangsaan (kecuali jurulatih pinjaman ataupun pelepasan oleh majikan) manakala elaun jurulatih separuh masa turut dinaikkan berdasarkan kelayakan SPKK masing-masing,” katanya.  – BERNAMA