PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang pengarah urusan syarikat pengedar traktor pertanian kerana disyaki terbabit dalam pemberian rasuah membabitkan projek pembekalan, penghantaran, pengujian serta pemasangan traktor pertanian bernilai lebih RM25 juta.
Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 8 Januari 2024 terhadap suspek yang berusia sekitar 50-an dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, suspek sebelum ini antara tiga individu lingkungan usia 40 hingga 50-an yang ditahan SPRM termasuk seorang pengurus besar pemasaran dan seorang pengurus besar jualan di dua syarikat.
“Mereka dipercayai terlibat dalam penawaran dan pemberian rasuah kepada pegawai-pegawai di satu syarikat perladangan sebagai balasan kerana memberikan projek berkenaan.
“Ketiga-tiga suspek telah ditahan sekitar 11 hingga jam 12 malam tadi ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM namun dua suspek yang berjawatan pengurus besar pemasaran dan jualan dilepaskan dengan jaminan kerana faktor kesihatan manakala suspek yang berjawatan pengarah urusan telah dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek dan dan dua suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette