Gambar tular menunjukkan suspek bersenjata pistol sedang samun barang kemas dari ruang pameran di kedai emas dalam pasaraya dalam kejadian di Kota Warisan Sepang malam tadi.

KUALA LUMPUR – Polis mempergiatakan usaha memburu empat suspek yang disyaki terlibat dalam jenayah samun bersenjata api di sebuah kedai emas pusat beli belah KipMall di Kota Warisan, Sepang, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, empat lelaki yang disyaki suspek dilihat menaiki kereta Proton Waja berwarna perak telah meletakkan kenderaan itu di bahagian belakang pusat beli belah itu.

“Tiga suspek telah masuk ke dalam kedai emas melalui sebuah kedai makanan segera di bahagian tepi premis pasar raya tersebut manakala suspek keempat menunggu di dalam kenderaan tersebut.

“Tiga suspek menyerbu kedai emas yang terletak di dalam pasar raya berkenaan sambil mengacukan senjata disyaki pistol ke arah para kakitangan bertugas di dalam kedai emas sebelum mengeluarkan emas yang diletakkan dalam kabinet pameran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, dalam kejadian jam 8.14 malam itu, ketiga-tiga suspek memakai topi keledar, bersarung tangan, berjaket serta berseluar gelap bagi mengelak dicam orang.

Katanya, tiada tembakan dilepaskan oleh suspek dan pemeriksaan mendapati barang yang disamun adalah rantai leher dan rantai tangan dengan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Menurut Wan Kamarul Azran, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Orang ramai yang maklumat maklumat mengenai kejadian itu boleh menyalurkannya dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Boby Tamat di talian 013-5557858 atau pergi ke balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette