KUALA LUMPUR – Pengasas Madad Soccer Academy, Mohammad Yaakub Yusra berkongsi pengalaman terakhirnya bersama jurulatih berpengalaman, Mohd. Azraai Khor Abdullah sebelum meninggal dunia hari ini.
Beliau memberitahu, Mohd. Azrai sempat memaklumkan menerusi WhatsApp mengatakan dirinya kurang sihat pagi tadi.
Malah Mohd Azrai yang berusia 71 tahun turut meluahkan rasa risau apabila mengenangkan pemilihan terakhir akademi itu yang semakin hampir pada Sabtu ini.
“Baru 10. 43 pagi tadi coach whatsApps saya maklumkan beliau kurang sihat dan masih risau tentang last selection Sabtu ini di UITM. Allahurabbi ini baru dapat makluman beliau sudah kembali ke rahmatullah.
“Jujurnya saya kuat untuk tubuhkan Akademi Madad Soccer ini antaranya sebab hasrat beliau. Jujur tak tahu nak cakap apa saat ini.
“Coach berehatlah di negara abadi sana. Insya-aAllah kami akan teruskan legasi yang coach dah usahakan ni. Doakan ya . gerak balik ke Kedah dulu untuk team Hang Cangkul MADAD uruskan jenazah almarhum coach sebagai penghormatan terakhir,”
tulis di Facebook miliknya.
Awal bulan lalu, Mohammad Yaakub menubuhkan Madad Soccer Academy dengan melantik Mohd. Azrai sebagai jurulatih dan dibantu seorang lagi pemain legenda Kedah, Baddrol Bakhtiar bagi mencari bakat baharu menerusi uji bakat di seluruh negeri itu.
Sementara itu, selain menjadi jurulatih, Azraai yang nama asalnya Khor Sek Leng juga adalah bekas pemain Kedah era 1970-an.
Malah beliau yang beraksi di bahagian tengah pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1975 hingga 1978.
Beliau dianggap antara jurulatih yang disegani dalam kancah bola sepak Malaysia kerana pernah membantu Kedah mencipta sejarah sebagai pasukan pertama memenangi double treble pada 2007 dan 2008.
Selain Kedah, beliau pernah membantu Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia pada 2011 dan turut membimbing beberapa pasukan lain termasuk Harimau Muda A, T-Team dan Kelantan.
Beliau juga sentiasa memberi pandangan dan cadangan yang membina buat arena bola sepak Malaysia dalam usaha menaikkan lagi sukan berkenaan di negara ini. – MalaysiaGazette