Mahasiswa UKM-GSB menganjurkan program Umas Cakna Air di Felda Gugusan Umas, Sabah, baru-baru ini.

TAWAU – Sekumpulan mahasiswa program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) baru-baru ini menganjurkan program CSR, Umas Cakna Air di Felda Gugusan Umas, Sabah, di sini.

Pengarah Projek, Muhammad Rashidul Amin Muhammad Rapingi berkata, tujuan program itu adalah untuk mendapatkan pandangan dan reaksi penduduk mengenai perkhidmatan bekalan air.

Menurut beliau, program tersebut juga bertujuan untuk membina hubungan baik dengan masyarakat setempat melalui aktiviti rewang rakyat, program mewarna dan cabutan bertuah.

“Masalah bekalan air yang sering terputus di kawasan Felda sejak 20 tahun lalu disebabkan oleh loji air yang sudah beroperasi untuk tempoh yang lama.

“Loji air tersebut sudah lama digunakan sehingga tidak begitu produktif untuk menampung keperluan air semasa penduduk.

“Sehubungan dengan itu, program Umas Cakna Air dijalankan oleh mahasiswa UKM-GSB yang juga dikenali sebagai Rainer untuk menilai keperluan kemudahan rawatan air di kawasan tersebut, katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, program itu bertemakan “Air Lestari, Komuniti Madani” dan dihadiri oleh hampir 1,000 penduduk Felda.

Menurutnya, sesi penerangan kesedaran penjimatan air dan lawatan sambil belajar ke loji rawatan air di Felda tersebut turut diadakan.

Katanya, program itu diadakan dengan kerjasama strategik FIC IPM, iaitu sebuah syarikat milik penuh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

“Program ini juga mendapat sokongan dan kerjasama daripada Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Kawal Selia FELDA), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan Kumpulan Perbankan RHB.

“Selain itu, MSM Malaysia Holdings Berhad, Yayasan FELDA dan Hamburg University of Technolog turut memberi sokongan bagi program ini,” ujarnya.

Turut hadir di majlis tersebut adalah wakil daripada Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azlan Joha, wakil Bahagian Kawal Selia FELDA dan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Generasi (FELDA), Dr. Nik Hasrul Mohd Zainudin. – MalaysiaGazette