ATHENS – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melahirkan kebimbangan mendalam terhadap arahan Israel untuk mengosongkan Hospital Nasser – hospital utama di bandar Khan Younis di Semenanjung Gaza, yang telah digunakan sebagai tempat perlindungan oleh penduduk Palestin dan kini berada di bawah kepungan Israel.
“Orang awam dibunuh, diperintah untuk memindahkan penduduk yang mencari perlindungan, tembok utara dirobohkan: Saya bimbang dengan apa yang dilaporkan berlaku di Kompleks Perubatan Nasser di #Gaza selepas dikepung selama kira-kira seminggu,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus melalui X.
Tentera rejim Israel dilaporkan telah memusnahkan kemudahan penyimpanan peralatan dan bekalan perubatan mengakibatkan akses ke hospital terhalang.
“Sekarang ini tiada koridor selamat untuk penduduk yang memerlukan bantuan kesihatan.
“Dua misi @WHO telah dinafikan dalam empat hari terakhir dan kami terputus hubungan dengan kakitangan hospital.
“Kami telah melihat sebelum ini bagaimana hospital kehilangan sumber dan akses menghentikan perkhidmatan menyelamatkan nyawa. Hospital Nasser adalah tulang belakang sistem kesihatan di selatan Gaza. Ia mesti dilindungi. Akses kemanusiaan mesti dibenarkan,” tegasnya.
Tanpa menyebut nama Israel, Ghebreyesus menggesa, “Hospital mesti dilindungi supaya mereka dapat menjalankan fungsi menyelamatkan nyawa mereka. Mereka tidak boleh ditenterakan atau diserang.”
Sejak 22 Januari, bandar Khan Younis telah menyaksikan pencerobohan darat besar-besaran Israel, memaksa puluhan ribu penduduk bandar itu meninggalkan kawasan mereka di bawah pengeboman besar Israel.
Israel telah menggempur Semenanjung Gaza sejak serangan 7 Oktober oleh kumpulan Palestin Hamas, membunuh sekurang-kurangnya 28,576 orang dan mencederakan 68,291 yang lain. .
Peperangan Israel ke atas Gaza telah mendorong 85% penduduk wilayah itu ke dalam perpindahan dalaman di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, manakala 60% daripada infrastruktur wilayah itu telah rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – Agensi