TELUK BAHANG – Seorang lelaki warga Perancis yang dilaporkan sesat lebih tujuh jam ketika mendaki Taman Negara di sini, berjaya diselamatkan bomba, pagi tadi.
Mangsa, Younes Oukali, 37, ditemui dalam keadaan keletihan pada jam 1.22 pagi dengan jarak kira-kira tiga kilometer iaitu anggaran lebih satu jam tempoh pendakian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang, Penolong Penguasa Bomba Faiz Helmi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.07 petang.
Katanya, operasi menyelamat membabitkan seramai 17 anggota termasuk dua pegawai dan bantuan BBP Balik Pulau.
“Pasukan penyelamat melakukan pencarian berpandukan lokasi yang dikongsi mangsa menerusi aplikasi WhatsApp.
“Kita menasihati mangsa supaya tidak bergerak dari lokasi yang diberikan bagi memudahkan pencarian tambahan pula keadaan cuaca hujan lebat ketika itu.
“Selepas lebih satu jam pendakian, kita berjaya temui mangsa dengan jarak kira-kira tiga kilometer dari pintu masuk,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Faiz, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan hanya keletihan disebabkan sesat dalam hutan taman negara itu kira-kira tujuh jam.
“Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi penyelamat yang dilakukan dengan bantuan Renjer Perhilitan Taman Negara itu tamat pada jam 4.58 pagi,” katanya.
Difahamkan, lelaki terbabit datang ke Pulau Pinang sejak seminggu lalu bagi tujuan melancong dan memasuki kawasan hutan berkenaan seorang diri petang semalam. – MalaysiaGazette