Home Nasional Mayat pelajar lemas di Lata Hammer ditemui

Mayat pelajar lemas di Lata Hammer ditemui

KUANTAN – Penuntut institusi pengajian tinggi awam yang hilang di air terjun Lata Hammer, Bentong dekat sini sejak Ahad lepas, ditemukan lemas hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata, mayat Muhamad Hafiz Khairul Azmi, 22, ditemukan pada 11.50 pagi.

“Mayat ditemukan terapung kira-kira lima meter dari lokasi mangsa dikatakan hilang dan diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari ketiga hari ini, turut dibantu dua anjing pengesan.

Polis sebelum ini mengesahkan Muhamad Hafiz ke air terjun yang terletak di Jalan Lama Bentong-Gombak itu pada 12.30 tengah hari Ahad untuk beriadah bersama tujuh rakan.

Mangsa yang beralamat di Janda Baik, Bentong dikatakan hilang semasa keadaan di air terjun kelam- kabut disebabkan dua wanita hampir lemas, namun kedua-duanya berjaya diselamatkan oleh orang awam di situ. – BERNAMA