Gambar hiasan

VIENNA – Polis Austria sedang menyiasat kematian empat wanita dan seorang remaja perempuan dalam tempoh 24 jam.

Tiga wanita maut ditikam oleh seorang lelaki di rumah pelacuran di ibu negara Austria pada Jumaat dan seorang suspek telah ditahan.

Seorang lagi wanita dan anak perempuannya terbunuh dalam kejadian yang tidak berkaitan.

Penyiasat percaya bapa gadis itu bertanggungjawab.

Austria menyifatkan hari itu sebagai “Black Friday” dan menggesa tindakan segera untuk menghentikan keganasan terhadap wanita.

Mayat tiga wanita ditemui di sebuah bangunan di daerah Brigittenau kira-kira jam 11 malam selepas seorang saksi menghubungi perkhidmatan kecemasan.

Suspek, dikatakan warga Afghanistan berusia 27 tahun, ditemui bersembunyi berhampiran rumah pelacuran dengan sebilah pisau di tangannya.

Motif pembunuhan itu tidak jelas tetapi lelaki itu telah disoal siasat.

Terdahulu pada hari Jumaat, seorang wanita berusia 51 tahun dan anak perempuannya berusia 13 tahun ditemui mati di sebuah apartmen di kawasan Erdberg.

Polis masih mencari suami wanita itu, yang juga bapa gadis itu, kerana penyiasat mengesyaki dia mungkin telah mencekik mereka sehingga mati.

“Siasatan awal, yang sedang dijalankan, menunjukkan wujud penggunaan senjata tumpul,” kata jurucakap polis Philip Hasslinger.

Eva-Maria Holzleitner, Ketua Jabatan Dasar Wanita Social Democratic Party (SPO), menggesa kerajaan memanggil mesyuarat bagi membincangkan isu pembunuhan wanita di negara itu.

Menurut data terkini yang diterbitkan oleh Institut Penyelidikan Konflik Austria, kira-kira 319 wanita dibunuh di negara itu antara 2010 dan 2020, kebanyakannya dibunuh oleh pasangan lelaki atau bekas pasangan. – Agensi