Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Melaka akan melakukan kajian terperinci terhadap cadangan tawaran percuma di 11 lokasi pelancongan utama negeri sempena cuti umum ulang tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang disambut pada 20 Februari.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pelbagai aspek perlu diambil kira terutamanya implikasi kewangan sebanyak RM2.6 juta ketika tawaran percuma itu pada sambutan minggu lalu.

“Kita akan kaji untuk jadikan acara tahunan tapi kita belum ada keputusan kerana kepelbagaian (11 lokasi percuma) itu pun kita lancar sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Tapi ada banyak produk-produk kita yang dapat sambutan memberansangkan dan itu kita boleh jadikan acara tahunan tanpa melebihi kos pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pertandingan memancing dan Memasak Ikan Air Tawar di Dataran Pengkalan Rama, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, cadangan itu juga adalah untuk memberi keyakinan kepada rakyat terhadap usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat dalam ekosistem pelancongan negeri.

“Ini kita dapat lihat apabila pada 20 Februari lalu, lebih 160,000 pelancong yang datang telah membelanjakan sekitar RM6 juta kepada ekonomi setempat.

“Ini termasuklah kos penginapan, makan dan minum selain cendera hati,” katanya. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast