Gambar hiasan

PETALING JAYA – Aktiviti scam dilaporkan selalu memuncak kira-kira sebulan sebelum perayaan utama, apabila aktiviti jual beli menjadi rancak.

Seorang pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman memberitahu Sinchew Daily, keadaan itu juga berlaku dalam perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Jelas pegawai itu,  sesetengah pengguna terjerat dengan tawaran produk yang murah terutamanya dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan.

“Perbezaan harga walaupun sedikit atau penghantaran percuma boleh menarik perhatian pengguna. Penipu juga sedar keadaan ini dan mengambil kesempatan untuk melakukan scam.

“Penipu tidak mempunyai stok atau produk tetapi mereka memerhati keadaan pasaran dan menawarkan satu harga yang murah sedikit berbanding yang biasa untuk mengelakkan curiga,” katanya kepada Sinchew Daily.

Akhbar tersebut telah melaporkan tentang scam hamper dan produk perayaan, termasuk makanan raya, yang berleluasa semasa Tahun Baharu Cina.

Seorang wanita antaranya dilaporkan kehilangan RM100 apabila menyalurkan duit dengan harapan untuk membeli Cheongsam manakala seorang lelaki kehilangan RM188 semasa membeli makanan perayaan.

Menurut pegawai Bukit Aman, penipu selalunya mengendalikan halaman Facebook dengan baik dan membina reputasi kononnya mereka merupakan penjual yang boleh dipercayai.

“Facebook milik penipu selalunya mempunyai ciri-ciri tertentu. Pertama, mereka biasanya akan membeli iklan. Kedua, data jumlah mesej pada halaman adalah tidak padan kerana banyak mesej dipadamkan.

“Halaman penipuan mempunyai pengikut ramai bukan kerana mereka mempunyai reputasi baik, tetapi mereka membeli halaman Facebook tertentu yang sudah memiliki pengikut yang ramai sebelum mengubah nama halaman tersebut untuk tujuan penipuan.

“Halaman Facebook dijual mengikut jumlah pengikut dengan harga antara ratusan ringgit hinggalah ribuan ringgit.  Jika penipuan didedahkan, mereka hanya perlu mengubah nama dan kandungan laman bagi meneruskan aktiviti penipuan.  Oleh itu, penipuan sukar dibanteras,” katanya.

Tambahnya, mangsa yang gagal menerima produk akan meninggalkan mesej negatif pada halaman Facebook, tetapi ia akan segera dipadam oleh penipu.

“Walaupun dipadam, tetapi data jumlah mesej masih dipaparkan. Maka pengguna boleh mendapati laman berkenaan mencatatkan data jumlah mesej yang banyak, tetapi mesej yang tertera pada laman pula sedikit yakni tidak padan dengan data,” katanya. – MalaysiaGazette