BATU CAVES – Seorang Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat seolah-olah tidak takut dengan perakuan sumpah setia atau baiah sebelum ini.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebaliknya Ahli Parlimen yang khianat kepada parti hanya takut apabila pindaan Perlembagaan dilakukan selaras dengan Akta Anti Lompat Parti.
“Bila sebut baiah, itu antara awak dengan Tuhan. Dalam kes Tanjong Karang, dia satu-satunya yang telah buat baiah, tapi tengok apa jadi pada dia.
“Baiah bermaksud kalau dia tak patuh itu dan ini, kesannya awak akan dilaknat oleh Allah dan Rasul.
“Segala apa duit yang kamu terima hukumnya haram, bagi saya itu saya sudah takut.
“Tapi ada orang tak takut, nak suruh kita buat undang-undang macam ini baru dia takut, saya takut dunia dan akhirat,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Agung Khas Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang, di sini.
Setakat ini, enam ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).
Selain itu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaharu, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang). – MalaysiaGazette