Gambar hiasan

SHAH ALAM – Simpanan median ahli bumiputera berumur bawah 55 tahun dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat kepada RM8,254 pada tahun kewangan berakhir Disember 2023 daripada RM4,900 pada 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP yang baru dilantik Ahmad Zulqarnain Onn berkata, semasa pandemik COVID-19 simpanan median ahli bumiputera menyusut sebanyak 70 peratus daripada RM15,500 sebelum pandemik.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas majlis pengumuman prestasi dan dividen KWSP bagi Tahun Kewangan 2023, di sini, hari ini.

Pada 2023, simpanan median untuk ahli kaum India meningkat kepada RM17,375 berbanding RM14,900 pada 2022, manakala bagi ahli kaum Cina, simpanan median meningkat kepada RM48,627 daripada RM45,800 sebelumnya.

Dana simpanan persaraan itu berkata sehingga Disember 2023, pendaftaran ahli baharu meningkat kepada 460,447 menjadikan jumlah ahli KWSP seramai 16.07 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak 8.52 juta adalah ahli aktif yang kini mewakili 50 peratus daripada 17.03 juta tenaga buruh Malaysia pada akhir 2023.

Pengerusinya Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata peningkatan positif ahli aktif KWSP itu adalah hasil daripada inisiatif pengembangan perlindungan KWSP.

Beliau berkata pengembangan capaian KWSP telah memastikan lebih ramai individu mempunyai akses kepada perlindungan sosial yang sewajarnya dan jaminan pendapatan masa hadapan, sekali gus memupuk keterangkuman kewangan yang lebih besar dan daya tahan merentas masyarakat.

“Usaha berterusan KWSP untuk meluaskan perlindungan juga dapat dilihat melalui pertumbuhan memberangsangkan program i-Saraan, yang membolehkan pekerja di sektor tidak formal atau mereka yang tidak mempunyai pendapatan formal untuk menabung untuk persaraan mereka dengan KWSP.

“Pada 2023, jumlah peserta i-Saraan mencatatkan peningkatan yang ketara sebanyak 31 peratus kepada 382,983 daripada 291,743 pada 2022,” katanya.

Secara keseluruhan, jumlah caruman meningkat kepada RM97.56 bilion pada 2023, peningkatan sebanyak 15 peratus daripada 2022.

Ahmad Badri berkata peningkatan itu mencerminkan kapasiti kewangan ahli yang semakin bertambah baik hasil daripada pemulihan progresif pendapatan, pekerjaan dan ekonomi, di samping mencerminkan kepercayaan berterusan terhadap KWSP dalam melindungi simpanan ahli.

— BERNAMA