BANDARAYA GAZA – Puluhan orang terbunuh dan cedera apabila tentera Israel menyerang penduduk Palestin yang sedang menunggu untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza, menurut Kementerian Kesihatan pada Ahad.
Jurucakap Kementerian Ashraf al-Qudra berkata serangan itu berlaku di selatan bandar Gaza.
“Tentera penceroboh Israel sedang melakukan genosid terhadap beribu-ribu penduduk yang kelaparan di utara Gaza,” menurut jurucakap itu.
Serangan itu berlaku tiga hari selepas sekurang-kurangnya 118 rakyat Palestin terbunuh dan 760 lagi cedera apabila serangan tentera Israel menyasarkan orang ramai yang menunggu bantuan kemanusiaan di selatan bandar Gaza.
Sementara itu, pejabat media kawasan itu berkata bantuan kemanusiaan yang dihantar menerusi udara ‘tidak berkesan’ di tengah-tengah kebuluran yang semakin meruncing di Gaza.
“Seramai 2.4 juta orang dilanda krisis kekurangan makanan dan kebuluran…,” menurut kenyataan pejabat media.
Kebuluran semakin teruk di wilayah utara dan kawasan pentadbiran Gaza dengan 15 kanak-kanak meninggal dunia, mengalami kekurangan zat makanan dan dehidrasi, selain mengancam nyawa lebih 700,000 penduduk.
“Bantuan melalui udara memberi kesan serius kepada rakyat dan menimbulkan cabaran besar kerana sebahagian daripada bantuan digugurkan berhampiran zon penampan (dengan Israel) atau kawasan yang dikawal oleh tentera rejim atau terletak di dalam wilayah Palestin yang diduduki.
“Tempat bantuan itu digugurkan tidak sesuai kerana tidak dijatuhkan di tempat yang selamat,” menurut kenyataan itu.
Amerika Syarikat pada Sabtu telah melaksanakan bantuan kemanusiaan pertama ke Gaza, dengan lebih 30,000 makanan digugurkan.
Beberapa hari lepas, tentera Mesir bersama Qatar, Perancis, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu terlibat dalam operasi bantuan menerusi udara di Semenanjung Gaza.- BERNAMA-ANADOLU