Seorang pemandu dan kelindan lori muatan sangkar ayam meninggal dunia selepas merempuh bahagian belakang lori muatan batu di kilometer (km) 294.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, pada Khamis. Foto JBPM PERAK

GOPENG – Pemandu dan kelindan lori muatan sangkar ayam maut selepas merempuh bahagian belakang sebuah lori muatan batu di kilometer (km) 294.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini hari ini.

Abdul Rahman Mat Desa, 39, dan Yew Khiang Khoon, 53, meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditemukan tersepit pada bangkai kepala lori tersebut.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu sekitar 9.10 pagi.

pemandu kelindan lori tersepit sepit kemalangan nahas jalan raya lori muatan sangkar ayam batu lebuhraya PLUS pemandu kelindan lori tersepit sepit kemalangan nahas jalan raya lori muatan sangkar ayam batu lebuhraya PLUS
Anggota bomba memadam kebakaran lori membawa sangkar ayam yang terlibat dalam kemalangan di Km 294.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, pada Khamis. Foto JBPM PERAK

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, ketika kejadian, lori muatan sangkar ayam berkenaan menghala ke utara sebelum tiba-tiba merempuh bahagian belakang lori muatan batu di lorong kiri.

“Impak daripada pelanggaran itu, lori muatan sangkar ayam telah mengalami kebakaran kecil, namun berjaya dipadam oleh pasukan bomba.

“Kedua-dua mangsa masing-masing beralamat di Pulau Pinang yang tersepit itu kemudian berjaya dikeluarkan dari bangkai kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, kedua-dua mangsa itu disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan paramedik, sementara pemandu lori muatan batu, Mohd Ridzuan Yunus, 35, telah dibawa ke hospital selepas didapati mengalami kecederaan.

pemandu kelindan lori tersepit sepit kemalangan nahas jalan raya lori muatan sangkar ayam batu lebuhraya PLUS pemandu kelindan lori tersepit sepit kemalangan nahas jalan raya lori muatan sangkar ayam batu lebuhraya PLUS
Keadaan lori yang terbakar akibat kemalangan Km 294.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, pada Khamis. Foto JBPM PERAK

Mohamad Nazri berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kenyataan berasingan, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, lori muatan sangkar ayam berkenaan mengalami kebakaran anggaran 40 peratus.

“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk membawa keluar kedua-dua mangsa tersepit, serta sumber air dari jentera untuk memadamkan api,” katanya lagi.

Terdahulu, Plustrafik menerusi aplikasi X memaklumkan, nahas jalan raya dua lori itu mengakibatkan kesesakan trafik sehingga 6 km ekoran lorong kiri terhalang.

“Semua lorong telah dibuat selepas kerja-kerja pembersihan kemalangan dua lori terbabit telah selesai sekitar jam 1.32 tengah hari,” katanya. -MalaysiaGazette