KUALA LUMPUR – Seorang pembantu rumah warga asing yang datang bekerja pada hari pertama namun ditahan pihak berkuasa kerana tidak mempunyai dokumen pasport yang sah di Taman Dato Ahmad Razali, Ampang baru-baru ini.
Ia dibongkar oleh majikannya sendiri.
Sebelum itu alasan wanita warga Indonesia itu kononnya dalam proses menguruskan permit kerja dengan Jabatan Imigresen gagal meyakinkan majikannya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian itu berlaku di rumah pengadu.
Menurutnya, pengadu seorang wanita berumur 27 tahun telah membuat laporan pada 6 Mac lalu pada jam lebih kurang 6 petang.
“Pengadu dalam aduan itu mendakwa telah menerima satu wanita Indonesia sebagai pembantu rumah yang dikenali dari laman sosial Facebook.
“Semasa hari pertama, suspek datang untuk bekerja, pengadu bertanya mengenai dokumen pasport tetapi suspek memberi alasan ia masih di dalam urusan mendapatkan permit.
“Pengadu rasa tidak yakin serta curiga dengan alasan wanita itu terus menelefon pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Azam, majikannya meminta butir pengenalan diri daripada wanita asing itu namun suspek gagal mengemukakannya.
Selepas menyedari penipuannya terbongkar, wanita itu cuba melarikan diri sebelum pengadu menghubungi bantuan polis.
“Pengadu berjaya memastikan wanita itu tidak melarikan diri daripada lokasi sebelum polis berjaya sampai ke lokasi dan membuat tangkapan ke atas perempuan itu sekitar 6.18 petang.
“Polis membuat pemeriksaan ke atas wanita berusia 29 tahun itu sebelum mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.
Suspek kini direman selama 14 hari bermula Khamis hingga 20 Mac ini untuk membantu siasatan lanjut di bawah di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada dokumen pengenalan diri yang sah tinggal di Malaysia yang memperuntukkan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan hendaklah maksimum enam sebatan. -MalaysiaGazette
Tindakan yg bijak. menghindar kebobrokan pendatang asing. mereka ingat rakyat Malaysia senang diperbodohkan. Tahniah dan syabas. Anda rakyat yg prihatin.