MELAKA – Lazimnya ramai yang mencari keselesaan di hotel untuk berbuka puasa kerana menu yang pelbagai selain mahu suasana mewah.
Namun sebuah restoran bumiputera dikenali Dutch Harbour Cafe (DHC) di Sungai Melaka yang mendapat jolokan Venice of The East juga tidak kurang hebatnya.
Pemiliknya, Azhar Abu Rais, 62, berkata, menjelang Ramadan ini, DHC memperkenalkan Bufet By Riverside dengan keenakan masakan anak perantauan melalui lebih 35 juadah pada harga RM55 (dewasa) dan RM35 (kanak-kanak) yang ditempah sebelum 17 Mac ini.
“Antara hidangan adalah kambing bakar, asam pedas tetel, shellout, ikan cencaru bakar, udang masak lemak, ikan keli sambal berlada, spageti, rendang daging selain pelbagai jenis air, bubur dan kuih muih.
“Semua menu bufet ini mempunyai set tertentu bagi memberi pilihan supaya pengunjung tidak jemu menikmati juadah sama setiap hari,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azhar, uniknya di DHC, sambil menikmati hidangan, pengunjung berpeluang melihat menikmati pemandangan bot pelancongan Sungai Melaka, Melaka River Cruise yang terkenal di seluruh dunia.
“Ini pastinya akan menjadi pengalaman baharu yang amat berharga buat pengunjung kerana bebas menikmati udara segar menikmati keenakan bufet.
“Orang ramai digalakkan membuat tempahan awal bagi menikmati harga promosi sebelum kembali ke harga asal RM69 bagi setiap dewasa manakala RM49 untuk kanak-kanak,” katanya.
Untuk sebarang tempahan orang ramai boleh hubungi talian 017-3421641 (Shafiq) atau 0109389182 (Syed) – MalaysiaGazette