BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencabar kerajaan mengisytiharkan pengosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik Bersatu yang beralih menyokong kerajaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan Presiden Bersatu itu sebagai ‘pakar lompat’ dan tidak layak mengutarakan cabaran tersebut.
“Kepala parti lompat (Muhyiddin) nak cadang buat (pengosongan kerusi)? Ia terpulang kepada ahli Parlimen, kenapa tanya saya?
“Dia yang pakar pergi lompat dan scheme of things, itu dia patut jawab. Orang dah hilang keyakinan kepada Bersatu terutamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Terdahulu media melaporkan Muhyiddin mencabar Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar untuk mengisytiharkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikosongkan.
Ia berikutan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu di kerusi terbabit beralih pendirian dengan menyatakan sokongan kepada pihak kerajaan.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan, mandat harus dikembalikan kepada rakyat menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) di semua kerusi berkenaan.
Sebelum ini, enam ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang).
Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga telah membuat tindakan yang sama baru-baru ini iaitu ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. – MalaysiaGazette