MELAKA – Prihatin untuk mengurangkan beban ibu bapa menjelang sesi baharu persekolahan bermula Isnin ini, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sutera Wangi, Batu Berendam di sini menawarkan khidmat gunting rambut pada harga hanya RM4 seorang.
Penyelaras program, Mohd Farhan Juhari, 38, berkata, inisiatif itu juga sebagai tanda kebersamaan rakyat dalam konsep Payung Rahmah yang disarankan kerajaan.
“Kita tahu, bulan ini adalah paling mencabar buat ibu bapa apabila terpaksa bergelut dengan kewangan menyediakan segala keperluan sesi persekolahan baharu anak.
“Pada masa sama, 1 Ramadan juga dijangka disambut Selasa ini jadi tentu banyak perbelanjaan diperlukan sebab itu kita harap program sebegini dapat meringankan sedikit beban mereka,” katanya di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi KRT Taman Sutera Wangi, Anuar Jaafar.
Menurut Mohd Farhan, ia adalah kali pertama program berkenaan dianjurkan jawatankuasa KRT baharu bagi 2024/2025.
“Kita harap, program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang membuka peluang kepada lebih ramai penduduk menikmatinya,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Mohd Faizal bin Omar, 42, berkata, selain menjimatkan wang, anaknya juga tidak perlu membazir tenaga untuk keluar dari kawasan perumahan mendapatkan perkhidmatan yang sama.
“Biasanya, kos untuk gunting rambut pelajar sekolah rendah mahupun sekolah menengah di kedai adalah RM8 hingga RM12.
“Tapi di sini, saya dapat berjimat lebih separuh apabila hanya dikenakan RM4,” katanya. – MalaysiaGazette