KUALA SELANGOR – Datuk Abdul Rashid Asari tidak pernah turun padang menyantuni jentera Perikatan Nasional (PN) Bahagian Tanjong Karang sepanjang perkhidmatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN).
Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau yakin dengan kepimpinan baharu oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, PN kembali mendapat kepercayaan rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.
“Kalau nak banding pimpinan PN terdahulu (Abdul Rashid) terutamanya Bersatu, saya ingat tak ada turun Tanjong Karang pun.
“Saya lihat PN di Selangor di bawah pimpinan Datuk Seri Azmin nampak (PN) akan lebih kuat kerana pengalaman beliau menjadi Menteri Besar sebelum ini.
“Beliau mula turun ke Bahagian-Bahagian (PN) dan kali ini masuk ke Tanjong Karang,” katanya di sini, hari ini.
Pada 6 Mac lalu, Abdul Rashid yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurut Abdul Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, keputusan itu dibuat tanpa sebarang paksaan dan setelah beliau meneliti titah Sultan Selangor yang memuji pentadbiran Kerajaan Selangor berada di landasan tepat.
Noh juga menafikan kehadiran Mohamed Azmin ke Tanjong Karang sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Karang susulan keahlian wakil rakyatnya, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi terlucut kerana menyokong kepimpinan Perdana Menteri Ke-10.
“Datuk Seri Azmin turun ke sini bukan sebab PRK, tiada kena mengena dengan PRK.
“Memang rancangan beliau, macam saya dulu, bila saya jadi Pengerusi BN Selangor, saya kena jelajah seluruh Selangor.
“Minggu lepas di Kota Raja, petang nanti di Kuala Selangor, dia akan Jelajah ke banyak Bahagian.
“Kalau Datuk Seri Azmin datang ke Tanjong Karang ini, bagi saya bukan kerana pasal PRK, tapi itu memang program jelajah Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette