Lori tangki minyak yang berjaya ditemui semula selepas dilarikan dua suspek bekas pekerj pemandu lori itu menggunakan kunci pendua dalam kejadian semalam di Puchong.Ihsan IPD Subang Jaya

SUBANG – Seorang pemandu treler tangki membawa muatan bahan api terkejut apabila kenderaan berat miliknya didapati hilang disyaki dicuri selepas 45 minit diparkir di Puchong semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada pengadu lelaki tempatan berusia 37 tahun yang merupakan pemandu lori treler tersebut.

“Pada jam lebih kurang 3 pagi semalam, telah meletakkan treler tangki minyak jenis Scania warna hijau di kawasan Puchong Prima, Puchong dalam keadaan baik dan berkunci.

“Bagaimanapun, pada jam lebih kurang 3.40 pagi iaitu 40 minit kemudian, pengadu yang kembali ke tempat itu terkejut besar selepas mendapati lori yang diletakkan di situ telah hilang disyaki dicuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Azlan lagi, akibat kejadian itu pemandu kenderaan berat itu terpaksa menanggung kerugian RM130,000.00.

Katanya, bertindak atas laporan pengadu, sepasukan polis pada hari sama jam lebih kurang 12 tengah hari berjaya membuat tangkapan ke atas dua orang suspek lelaki yang disyaki melakukan jenayah tersebut.

“Kedua-dua suspek yang merupakan warga tempatan berusia 40an dan 20an telah diberkas di kawasan Puchong Prima, Puchong.

“Hasil soal siasat dan dipandu arah oleh kedua-dua suspek, pada jam lebih kurang 1.30 tengah hari Khamis, pihak polis telah berjaya membuat rampasan sebuah lori trailer tangki minyak jenis Scania warna hijau milik pengadu di kawasan Klang.

“Siasatan lanjut polis juga mendapati suspek merupakan seorang bekas pekerja pengadu (pemandu lori tangki) dan menggunakan kunci pendua untuk melarikan kenderaan berat itu,” ujar beliau.

Suspek telah dihadapkan ke Mahakamh Shah Alam sebelum dibenarkan direman selama tiga hari mulai Jumaat hingga 17 Mac ini.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu kesalahan mencuri sebuah kenderaan motor. – MalaysiaGazette