Dr Ruzita Mustaffa

ALOR GAJAH – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) sudah mengambil sampel sup daging peniaga di bazar Ramadan Taman Semabok Perdana, di sini yang tular setelah didakwa berbau selain mengandungi telur lalat.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ruzita Mustaffa berkata, sampel berkenaan telah diambil dari peniaga berkenaan semalam selain turut mengambil keterangan pihak pengadu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dan penilaian di gerai tersebut mendapati, ada beberapa perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan kita telah memberi bimbingan kepada kepada pengendalinya serta semua gerai yang lain.

Dr Ruzita melakukan walkabout di Bazar Ramadan Alor Gajah, Melaka hari ini.

“Sampel dari proksi makanan berkenaan (sup) juga telah diambil dan dihantar ke makmal untuk menguji mikroorganisma berisiko yang terdapat dalam juadah tersebut.

“Keputusan makmal dijangka diperolehi antara dua hingga tiga minggu sebelum dapat disahkan sama ada kita boleh mengambil sebarang tindakan perundangan atau pun tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan sesi walkabout di Bazar Ramadan Alor Gajah di sini hari ini.

Hadir sama Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan tular kes seorang pelanggan wanita dari Johor terkejut apabila mendapati sup daging dibelinya daripada peniaga berkenaan berbau selain terdapat telur lalat di rongga tulang.

Bagaimanapun susulan itu, peniaga berkenaan tampil memohon maaf dan berjaya menyelesaikan isu berkenaan dengan pengadu dengan memulangkan semula wang RM10 dibelanjakan. – MalaysiaGazette

Pengunjung bazar Ramadan terkejut dipaksa beli sup daging telur lalat, berbau

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast