KUANTAN – “Tahun ini kali keenam kami menantikan rezeki juadah Ramadan walau pun bukan muslim”.
Demikan kata N. Murugan, 57, yang menzahirkan kesyukuran kerana dapat menikmati rezeki agihan makanan percuma setiap kali menjelang Ramadan.
Murugan menghulur kudrat bersama-sama sukarelawan Pertubuhan Dapur Infak pada setiap petang di Lorong Wong Ah Jang mengedarkan pek makanan kepada golongan rentan dan gelandangan di situ.
Selain mengambil makanan untuk dirinya, beliau mengambil lebih bagi berkongsikan rezeki dengan golongan kurang bernasib baik yang lain.
“Syukur sangat saya memang tunggu waktu petang untuk agihan setiap kali Ramadan walau pun tidak berpuasa kerana bukan Islam.
“Saya ambil makanan lebih untuk bantu kawan-kawan kerana yang tidak sempat datang ambil,” katanya.
Manakala seorang warga Orang Asli dikenali Kesai, 62, pula memberitahu, tahun ini merupakan kali kedua dapat menikmati makanan percuma pada bulan Ramadan sejak berpindah ke Kuantan pada tahun lalu.
Warga emas dari suku kaum Jakun berasal dari Johor itu kini menetap di Kuantan bersama kakaknya dan tidak mempunyai pekerjaan mengharapkan bantuan yang diberikan meringankan beban.
Menurut beliau, makanan yang percuma diedarkan sepanjang Ramadan sangat membantu mengisi perut.
“Nasiblah ada makanan percuma saya, kakak dan kawan-kawan lain untuk makan. Menu masakan juga sedap dan kenyang kami sampai malam. Kalau ada lebih bungkus satu untuk makan lagi,” katanya.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati golongan komuniti rentan di Jalan Wong Ah Jang menunggu juadah percuma pada pukul 5 petang.
Mereka terdiri daripada golongan asnaf dan pelbagai kaum serta lapisan umur beratur mengambil makanan berisi nasi, lauk, buah dan air mineral.
Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Dapur Infaq Ummah, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, selain golongan rentan di kawasan komuniti Wong Ah Jang, agihan makanan dibuat di warga Pasar Besar Kuantan.
“Bagaimanapun bermula tahun ini, semua agihan diselaraskan di Pusat Prihatin Pahang yang terletak di Jalan Wong Ah Jang sahaja, jadi warga komuniti rentan di Pasar Besar Kuantan akan ke pusat sini.
Badrul berkata pada tahun ini, pertubuhan itu menyediakan 1,500 juadah berbuka puasa percuma setiap hari sepanjang Ramadan ini untuk golongan memerlukan di daerah ini.
Badrul Jamili Kamaruddin
Program berkenaan mendapat tajaan sumbangan daripafda Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), kerajaan negeri dan perseorangan. – MalaysiaGazette