Pengerusi Eksekutif KK Supermart, Datuk Seri Dr KK Chai bercakap ketika Sidang Media berhubung penjelasan isu stokin yang mempunyai cetakan kalimah Allah di Menara KK Super Mart, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 16 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pengasas dan juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri KK Chai antara lapan individu yang telah dipanggil dan selesai diambil keterangan bagi membantu siasatan kes penjualan stoking tertera kalimah Allah yang mencetuskan ketegangan di negara ini.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memaklumkan, keterangan kesemua individu berkenaan diambil kira-kira pukul 12.30 tengah hariĀ  semalam.

“Setakat ini, sebanyak 80 laporan polis telah diterima Bukit Aman berhubung kes itu di seluruh negara setakat pukul 12 tengah hari ini.

“Siasatan masih diperingkat awal dan pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) akan mengenal pasti proses perolehan dan lain-lain yang bersangkutan bagi mengenalpasti pelaku-pelaku yang terlibat di sebalik insiden itu,” kata JSJ Bukit Aman dalam kenyataan ringkas hari ini.

Tambahnya lagi, siasatan dilakukan secara menyeluruh oleh polis ke atas fakta isu kes penjualan stoking tertulis kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart Sunway Pyramid.

Katanya lagi, siasatan akan dikendalikan secara menyeluruh meliputi segala aspek sebelum hasil dapatan akhir siasatan kes dimuktamadkan kelak.

“Siasatan awal setakat ini mendapati vendor terlibat beroperasi di Batu Pahat, Johor,” jelasnya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka.

Sultan Ibrahim mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Dalam pada itu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) menerusi sidang media khas Ahad lepas memohon maaf secara terbuka berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal produk.

Pengendali rangkaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya pengguna tidak memboikot perniagaan tersebut. – MalaysiaGazette