KUALA LUMPUR – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) mengambil inisiatif menyantuni penduduk Kampung Orang Asli Broga, Semenyih dekat sini menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu CommUnity: Harvest of Hope.
Program yang melibatkan pelajar semester empat Diploma In Corporate Communication telah dijayakan dengan kerjasama pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).
Penasihat Program, Aida Suhana Abdul Hamid berkata, aktiviti itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kehidupan Orang Asli di negara ini di samping mempelajari tentang budaya dan tradisi mereka.
Pada masa sama, katanya, program itu dapat mengeratkan hubungan dengan golongan asal itu melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
“Selain itu, program ini dijalankan bertujuan untuk meraikan masyarakat Orang Asli setelah difahamkan mereka tidak selalu mendapat peluang merasakan suasana seperti ini.
“Kami juga terharu dengan ajakan pihak Majlis Perbandaran Kajang untuk bersama-sama dengan pelajar dalam menjalankan aktiviti membuat bubur lambuk kerana tidak mudah bagi masyarakat Orang Asli merasa bubur lambuk walaupun setahun sekali.
“Jadi dengan adanya program seperti ini, masyarakat Orang Asli akan berasa dihargai walau hanya sehari program ini dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Gotong-royong menyiapkan bubur lambuk.Aida Suhana menambah, pengisian program juga merangkumi aktiviti pertandingan mewarna bersama kanak-kanak, majlis berbuka puasa, penyerahan barangan sumbangan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
“Penganjuran program ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada pelajar untuk melakukan aktiviti yang melibatkan masyarakat supaya pelajar dapat lebih bertanggungjawab dalam melakukan tanggungjawab sosial di samping belajar mengendalikan program,” katanya.
Sementara itu, CommUnity: Harvest of Hope turut mendapat tajaan mendapat sokongan dan ditaja oleh MSM Gula Prai, Malayan Flour Mills Berhad, Maju Kicap Enterprise, Pertima Trengganu Sdn Bhd, Barkath Store (K) Sdn.Bhd., Coffee Papa Kaw Trading dan ESF Food Production. – MalaysiaGazette