KUALA LUMPUR – Pengasas produk kecantikan kulit jenama Natasya, Datin Muniroh Kasim mengalami kerugian hampir RM100,000 selepas beg tangan mewah dilarikan oleh tetamu yang datang ke rumah.
Beliau berkata, kejadian itu hanya disedari semalam selepas ingin pergi ke majlis berbuka puasa dan mencari beg tangan yang sesuai untuk digayakan dengan busana yang dipakai.
“Tolong hantar balik sapa2 terambik bag saya ye sebelum saya tengok cvtv n report polis,” tulis di Facebook miliknya.
Jutawan itu juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bersimpati dengan kejadian sambil ada yang menasihatinya agar tidak terlalu baik dan percaya dengan tetamu yang datang.
Sementara itu, Muniroh memberitahu MalaysiaGazette, sebanyak empat beg tangan mewah telah dilarikan tanpa disedarinya dan ahli keluarga di mana barangan itu di simpan dalam bilik khas di tingkat atas banglo mewah miliknya.
Sebelum ini, usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri pernah datang rumah Muniroh untuk membuat liputan puluhan koleksi beg tangan mewah yang disiarkan di media sosial.
Sekitar pertengahan tahun 2000, produk Natasya mencetus fenomena apabila jualannya cukup luar biasa hingga mencecah puluhan juta ringgit setahun.
Muniroh ketika itu bermula dengan menjual krim malam dari rumah ke rumah sebelum rangkaian produk Natasya berkembang pantas yang menjadikan wanita kelahiran Kedah itu muncul jutawan Melayu yang disegani.
Namun akibat lambakan produk kecantikan kulit bermula awal tahun 2010, produk Natasya semakin sepi hingga menyebabkan ada berpendapat ia gagal untuk bersaing di pasaran yang menggunakan konsep jualan atas talian. – MalaysiaGazette