KUALA LUMPUR – Inflasi Malaysia pada Februari 2024 meningkat 1.8 peratus dengan mata indeks mencatatkan 132.1 berbanding 129.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan inflasi pada Februari 2024 telah didorong oleh peningkatan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (2.7%); rekreasi, sukan & kebudayaan (1.6%) dan pengangkutan (1.2%).
Manakala, kumpulan utama lain merekodkan peningkatan lebih perlahan termasuk restoran & perkhidmatan penginapan (2.9%), kesihatan (2.2%), makanan & minuman (1.9%) dan pendidikan (1.5%).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan 2.7 peratus bagi perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (Januari 2024: 2.0%) disumbangkan oleh subkumpulan utama bekalan air & pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan rumah kediaman pada 29.7 peratus (Januari 2024: 9.3%).
Ini berikutan pelaksanaan pelarasan tarif air mengikut mekanisme penetapan tarif (TSM) bagi kategori pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Labuan yang berkuatkuasa 1 Februari 2024.
Manakala, peningkatan inflasi pengangkutan disumbangkan oleh subkumpulan utama pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang meningkat 1.3 peratus (Januari 2024: 1.2%) dan perkhidmatan pengangkutan awam 1.7 peratus (Januari 2024: -4.5%).
Kumpulan makanan & minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP mencatatkan peningkatan lebih rendah iaitu 1.9 peratus pada Februari 2024 (Januari 2024: 2.0%).
Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.5 peratus pada bulan Februari 2024 (Januari 2024: 1.1%).
Sementara itu, subkumpulan utama makanan di luar rumah meningkat kepada 3.5 peratus berbanding 3.1 peratus yang direkodkan pada Januari 2024.
Peningkatan inflasi kelas perbelanjaan bijirin & produk bijirin kepada 2.5 peratus pada Februari 2024 (Januari 2024: 2.7%) disumbangkan oleh beras wangi import dan beras basmati yang masing-masing meningkat sebanyak 6.3 peratus (Januari 2024: 6.6%) dan 1.0 peratus (Januari 2024: 2.1%).
Manakala, tepung gandum menurun kepada negatif 4.3 peratus (Januari 2024: -3.8%).
Inflasi kelas perbelanjaan susu, produk tenusu lain & telur mencatatkan peningkatan sebanyak 2.3 peratus pada bulan Februari 2024 (Januari 2024: 2.5%), kenaikan yang lebih rendah telah dicatatkan oleh item perbelanjaan susu tepung sebanyak negatif 0.8 peratus (Januari 2024: -0.4%).
Sementara itu, inflasi bagi kelas perbelanjaan minyak & lemak kekal pada kadar yang sama seperti Januari 2024 iaitu negatif 0.2 peratus.
Inflasi bagi kelas perbelanjaan daging meningkat perlahan kepada 0.5 peratus pada bulan Februari 2024 (Januari 2024: 1.4%).
Bagi perbandingan bulanan, kelas perbelanjaan ini mencatatkan penurunan negatif 0.3 peratus (Januari 2024: 0.7%).
Daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar merangkumi 32.6 peratus dalam kelas perbelanjaan daging mencatatkan penurunan kepada negatif 0.7 peratus berbanding 0.8 peratus pada bulan Januari 2024.
Purata harga ayam standard Malaysia adalah RM10.29 sekilogram berbanding RM10.33 sekilogram dicatatkan pada bulan Februari 2023 dan Januari 2024.
Selain itu, inflasi bagi kelas perbelanjaan sayur-sayuran mencatatkan penurunan kepada negatif 0.8 peratus (Januari 2024: 2.2%) disebabkan bekalan yang semakin stabil dan permintaan yang berkurangan di peringkat pengguna.
Antara sayur-sayuran yang menunjukkan penurunan adalah timun, sawi, tomato dan bayam hijau.
Namun bawang putih dan bawang merah besar masing-masing meningkat 28.5 peratus (Januari 2024: 27.3%) dan 22.6 peratus (Januari 2024: 15.8%).
Mohd Uzir berkata, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.8 peratus.
Walau bagaimanapun, lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (2.7%), Pahang (2.4%), Selangor (2.1%), Perlis (2.0%) dan Sarawak (1.9%).
Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasimakanan & minuman dengan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh
Putrajaya (3.2%), diikuti oleh Selangor (3.0%), Pulau Pinang (2.5%), Labuan (2.3%), Sarawak (2.2%), Perlis (2.2%) dan Pahang (2.1%).
Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan & minuman nasional iaitu 1.9 peratus pada Februari 2024.
Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia (1.8%) adalah lebih rendah berbanding Vietnam (4.0%), Filipina (3.4%), Amerika Syarikat (3.2%), Republik Korea (3.1%) dan Indonesia (2.8%).
Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding China (0.7%) dan Thailand (-0.8%). – MalaysiaGazette