Philippe Troussier. Foto AFC.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) mengambil keputusan drastik menamatkan kontrak Philippe Troussier sebagai ketua jurulatih selepas kekalahan memalukan 0-3 kepada Indonesia pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium My Dinh malam tadi.

Keputusan itu dibuat selepas pengendali dari Perancis itu gagal membantu Vitenam mencatat kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut-turut di pentas antarabangsa sejak tewas kepada Iraq pada 21 November 2023.

Jurulatih berusia 69 tahun itu memegang jawatan sebagai ketua jurulatih skuad senior Vietnam bermula tahun 2023 bagi menggantikan tempat Park Hang-seo yang meletak jawatan selepas saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 berakhir.

Sejak itu, skuad The Golden Stars gagal menampilkan corak permainan terbaik selain kerap tewas dalam perlawanan di peringkat antarabangsa.

Prestasi yang kian merudum ini nyata memberi kesan terhadap kedudukan mereka dalam ranking FIFA di mana sebelum ini Vietnam menghuni tangga ke-95 dan kemudiannya jatuh ke tangga ke-115.

Dalam carta kumpulan F, Vietnam ketika ini menduduki tangga ketiga dengan kutipan tiga mata manakala Indonesia berada di tangga kedua dengan tujuh mata manakala Iraq kekal berada di puncak dengan 12 mata.

Selepas tewas dua kali kepada Indonesia, peluang Vietnam untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 semakin sukar dan mereka wajib mencatat kemenangan dalam baki dua perlawanan terakhir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast