Gambar hiasan

SUBANG – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan 15 peratus pertambahan kenderaan di semua lebuh rayanya sempena perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peningkatan tersebut dijangka berlaku pada hari-hari puncak iaitu 5, 6, 9, 12, 13 dan 14 April 2024.

“Dijangka daripada 1.82 juta kenderaan sehari bertambah kepada 2.1 juta sehari pada tempoh berkenaan,” katanya ditemui sewaktu meninjau persediaan PLUS menghadapi musim perayaan Aidilfitri di Menara Korporat, Persada PLUS.

Dalam masa yang sama, katanya, PLUS pada kali ini turut menambah SmartLane kepada 18 di lokasi tumpuan trafik bagi membantu melancarkan pergerakan semasa musim Hari Raya Aidilfitri.

Ahmad turut menasihati pengguna lebuh raya tersebut supaya merancang perjalanan sebaiknya bagi mengelakkan kesesakan yang keterlaluan.

“PLUS telah membuat beberapa persiapan dan nasihatkan kita adalah rancang perjalanan menerusi jadual melalui digital saya harap ramai akan muat naik aplikasi MyPLUS TTA (Travel Time Advisory)  yang bersama dengan aplikasi MyJalan KKR supaya mereka boleh melihat bilakah waktu yang tidak terlalu sesak untuk melakukan perjalanan.

“Kenderaan hendaklah diselenggara dengan baik. Pastikan baki kad bayaran tol cukup,” katanya lagi.

Sebagai rekod, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar baru-baru ini berkata,  pertambahan SmartLane ini adalah yang lebih tertinggi berbanding musim perayaan lalu.

Keputusan tersebut dibuat berdasarkan kajian dibuat Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mendapati SmartLane banyak membantu mengurangkan dan menangani kesesakan.- MalaysiaGazette