Muhammad Fikri menyampaikan sumbangan kepada Wei Yeow, yang akan ke pertandingan ITTF Asia Hopes Week & Challenge pada April atau Mei ini.

MELAKA – Lazimnya ketika Ramadan, umat Islam bersedekah dengan cara mengedarkan bubur lambuk atau meraikan anak yatim berbuka puasa namun lain pula dilakukan sebuah syarikat pembinaan rumah mampu milik.

Ini kerana, Beaks Construction Sdn. Bhd. (Beaks) memilih untuk menterjemahkan semangat Malaysia Madani dengan menghulurkan sumbangan tajaan kepada seorang pelajar sekolah Cina di sini yang akan mewakili Melaka dalam sukan ping pong, April ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Fikri Mohd Ali berkata, dia terpanggil membuat kelainan pada Ramadan kali ini untuk membantu Koh Wei Yeow, 11 yang merupakan murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) (SJKC) Pay Teck, Kampung Tiga di sini.

“Saya dimaklumkan murid ini akan mewakili Melaka untuk ke pertandingan International Table Tennis Federation (ITTF) Asia Hopes Week & Challenge 2024 yang dijangka berlangsung di Thailand pada April atau Mei ini.

“Namun, keluarganya masih kekurangan dana untuk kos kelengkapan peralatan sukan ke pertandingan tersebut membuatkan saya tampil membantu kerana percaya konsep sumbangan dalam Islam itu luas dan tidak perlu hanya terhad untuk masyarakat Islam semata-mata,” katanya.

Muhammad Fikri menyampaikan sumbangan kepada Wei Yeow, yang akan ke pertandingan ITTF Asia Hopes Week & Challenge pada April atau Mei ini sambil disaksikan guru sekolah dan ibu bapanya di SJKC Pay Teck di Melaka hari ini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM3,000 kepada ibu bapa murid berkenaan di (SJKC) Pay Teck sambil disaksikan guru Penolong Kanan Kokurikulum, Siau Xiao Tong di sini hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Fikri berkata, sumbangan itu juga adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya yang mendapat sokongan kerajaan membina projek rumah mampu milik di seluruh negara.

“Saya percaya kita harus membantu sesiapa sahaja tanpa perlu melihat latar belakang agama, kaum dan bangsa sekali gus menghidupkan semangat perpaduan sebagai sebuah bangsa Malaysia,” katanya.

Sementara itu, bapa murid berkenaan, Koh Ho Thong, 50, berkata, dia dan isteri, Wai Siew Chuan, 44, terharu dan berterima kasih kepada Beaks kerana menunaikan permintaan mereka selepas lebih lima permohonan kepada pelbagai pihak ditolak sebelum ini.

“Kami bekerja sebagai guru dan sudah tentu sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan kos perbelanjaan anak ke pertandingan itu kerana semua peralatan sukan ping pong ini mahal-mahal belaka.

“Pemberian ini juga pasti akan meningkatkan lagi semangat anak mewakili Melaka bersama seorang lagi murid wakil dari Kuala Lumpur ke pertandingan itu nanti,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast