KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sependapat dengan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berhubung penggunaan istilah ‘kafir’ yang menjadi polemik sejak kebelakangan ini.
Tanpa mengulas panjang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, beliau berpegang kepada pandangan Luqman untuk mengharmonikan suasana.
“Saya rasa yang Sahibus Samahah Datuk Dr Lukman telah keluarkan pandangan yang agak harmoni.
“…dan saya rasa kita stick kepada pandangan Mufit Wilayah untuk kita harmonikan keadaan semasa,” katanya pada sidang media Pengumuman Agihan Keuntungan Lembaga Tabung Haji 2023, di sini, hari ini.
Beliau ditanya media mengenai pandangan dua mufti iaitu Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin dan Lukman yang memberikan pandangan berbeza berhubung isu berkenaan.
Dr. Luqman menerusi kenyataannya semalam berkata, penggunaan istilah-istilah hukum-hakam agama tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk tujuan kepentingan tertentu yang tidak berasaskan kepada asas ilmu Islam yang sebenar.
Oleh itu, semua pihak perlu berhati-hati dan tidak mudah mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham masyarakat dan membuka ruang fitnah.
Beliau berkata, gelaran kafir merupakan kalimah dalam bahasa Arab dan banyak kali disebut dalam al-Quran serta hadis dengan pelbagai pecahan.
Ia adalah merujuk kepada orang yang tidak beriman kepada Allah SWT dan rasul.
Jelas mufti itu, penggunaan istilah ini telah termaktub dalam al-Quran dan hadis. Ia adalah istilah yang melambangkan perbezaan antara iman dan kekufuran dan ia tidak berubah penggunaannya.
“Walau bagaimanapun, penggunaan dalam konteks interaksi antara orang Islam dan bukan Islam boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan situasi yang memerlukan kepada istilah yang lebih harmoni khususnya dalam uslub dakwah,” katanya.
Lantaran itu, katanya, adalah tidak adil untuk masyarakat terus menghukum dan mengeji Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berasaskan kepada potongan video tanpa melihat kepada konteks keseluruhan yang dimaksudkan dalam ucapan berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd Asri ketika mengulas isu sama berkata, ucapan menteri terbabit tidak menjadi isu sekiranya pengharaman itu di sekolah atau di tempat awam, ataupun sekiranya anaknya suka memanggil orang bukan Muslim “kafir”.
Namun, apabila disebutkan ‘di rumah’, maka amat pelik, dan apakah ada kecenderungan dalam keluarga memanggil sesama sendiri ‘kafir’, katanya.
Asri menjelaskan, umat Islam di Malaysia sememangnya tidak memanggil orang bukan Islam sebagai ‘kafi’ dalam pergaulan harian mereka, sebaliknya, istilah itu biasanya digunakan sebagai rujukan dalam perkara aqidah.
Isu ini tercetus selepas tular satu video yang memaparkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menolak penggunaan label kafir dan mengharamkan anak-anak beliau menggunakan perkataan terbabit di rumah.
Susulan penyebaran video itu, Fadhlina menerima pelbagai reaksi negatif daripada netizen sehingga keselamatan dirinya turut terancam. – MalaysiaGazette
Istilah hukum-hakam agama tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya – Mufti WP