Menteri Pengangkutan, Anthony Loke beramah mesra bersama penumpang semasa melakukan lawatan kerja ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sempena persiapan Hari Raya Aidilfitri 2024 di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Kesemua 230,000 tiket bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Pantai Timur habis terjual termasuk bas tambahan yang diluluskan setakat ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, baki 100,000 tiket bas ekspres yang tinggal sempena musim perayaan Aidiffitri ini adalah bagi perjalanan ke utara dan selatan.

Jelas beliau, sebanyak 70 peratus tiket bas itu terjual menerusi dalam talian manakala bakinya dibeli oleh pengguna melalui kaunter di terminal tersebut.

“Jadi kita nampak ada sedikit peningkatan berbanding pada tahun lalu apabila sekitar 65 peratus pembelian tiket bas ekspres melalui dalam talian dan bakinya di kaunter,” katanya.

Anthony Loke meninjau suasana TBS menjelang persiapan Aidilfitri

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau suasana TBS sempena persiapan Aidilfitri bersama Ketua Pengarah APAD, Datuk Azlan Shah Al Bakri dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maju Holdings, Datuk Roslan Sharif.

Anthony menambah, pihaknya juga telah meluluskan 218 bas tambahan setakat 29 Mac lalu melalui permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan bagi menampung permintaan tinggi dan ia dijangka meningkat sehingga permohonan ditutup jam 4 petang hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, TBS kini telah menambaik sistem penjualan tiket dalam talian melalui pelaksanaan integrasi pas pelepasan kod QR dengan beberapa penyedia Sistem Tiket Online (OTA) bas ekspres.

Penumpang hanya perlu mengimbas kod itu di balai pelepasan sekali gus mengurangkan kesesakan di kaunter untuk menebus pas tersebut secara fizikal selepas membeli tiket bas dalam talian menerusi OTA lain.

“Persiapan rapi perlu dibuat mengambil kira 30,000 penumpang sehari bermula hujung minggu ini melibatkan 1,000 perjalanan bas ekspres dalam tempoh sejam. Maknanya, 40 bas berlepas dalam sejam iaitu hampir setiap satu minit setengah ada satu bas berlepas dari TBS dengan purata sekitar 40 penumpang setiap bas,” katanya.

Sementara itu, Anthony memaklumkan, Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dijangka mula beroperasi pada Jun ini dan akan membuat tinjauan susulan selepas Aidilfitri. – MalaysiaGazette