Anggota Maritim bersama lima suspek yang ditahan kerana disyaki mencuri di perairan Johor Timur, pagi semalam.

KOTA TINGGI – Lima orang suspek disyaki pencuri besi buruk bersama sebuah bot kayu yang tidak berdaftar telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Johor Timur pagi, semalam.

Kelima-lima suspek yang ditahan merupakan warga Indonesia berusia dalam lingkungan antara 31 hingga 53 tahun.

Menurut Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam, pihaknya telah menerima aduan daripada Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) mengenai sebuah bot tunda Bongawan 9 beserta tongkang Hexagro 9 dengan muatan besi buruk pada jam 10.45 pagi.

“Kapal itu dalam perjalanan dari Labuan menuju ke Pelabuhan Klang dan dipercayai cuba mencuri muatan tongkang tersebut pada kedudukan 3.8 batu nautika selatan Tanjung Penyusop.

“Sejurus aduan diterima, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang meronda terus bergerak ke lokasi kejadian.

“Suspek cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran Maritim Malaysia namun berjaya dipintas dan ditahan pada jam 11.50 pagi di kedudukan 3.6 batu nautika selatan Tanjung Penyusop.

“Walau bagaimanapun, bot tahanan telah mengalami kebocoran luar kawalan dan tenggelam pada kedudukan 2.0 batu nautika tenggara Tanjung Bulat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kes akan disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta pecah masuk dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan penjara tidak lebih lima tahun dan denda sehingga RM4,000 serta penjara lima tahun, enam sebatan dan denda sehingga RM10,000,” katanya.

Kesemua suspek telah dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut. –  MalaysiaGazette