Barisan kontena di Pelabuhan Barat yang merupakan antara 20 buah pelabuhan paling sibuk di dunia sejak 2003 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Westport, Pelabuhan Klang. Foto MOHD ADZLAN, 14 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyemak semula unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar Malaysia pada kadar 4.4 peratus tahun ini berbanding jangkaan awal 4.3 peratus.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.7 peratus pada 2023.

Dalam Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) terbarunya bertajuk “Steady but slow, resilience amid divergence” IMF turut mengekalkan pertumbuhan KDNK 4.4 peratus pada 2025.

Ia mengunjurkan baki akaun semasa Malaysia pada 2.4 peratus pada 2024 dan 2.7 peratus pada 2025.

Bagi pertumbuhan global, IMF menganggarkan ia berada pada 3.2 peratus untuk tahun lepas dan akan berterusan pada kadar yang sama pada 2024 dan 2025.

“Ramalan untuk 2024 disemak semula sebanyak 0.1 mata peratusan daripada kemas kini WEO Januari 2024 dan sebanyak 0.3 mata peratusan daripada WEO Oktober 2023,” katanya.

Kadar pengembangan adalah rendah mengikut piawaian sejarah, disebabkan oleh kedua-dua faktor jangka pendek, seperti kos pinjaman yang masih tinggi dan penarikan sokongan fiskal, dan kesan jangka panjang daripada pandemik Covid-19 dan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine; pertumbuhan produktiviti yang lemah, dan peningkatan pemecahan geoekonomi.

Dana itu berkata, risiko terhadap prospek global kini secara amnya seimbang.

Sebaliknya, lonjakan harga baharu yang berpunca daripada ketegangan geopolitik, termasuk daripada perang Ukraine dan konflik Timur Tengah boleh, bersama-sama dengan inflasi teras yang berterusan di mana pasaran buruh masih ketat, meningkatkan jangkaan kadar faedah dan mengurangkan harga aset, katanya.

Pemecahan geo-ekonomi boleh diperhebat dengan halangan yang lebih tinggi kepada aliran barangan, modal dan manusia, membayangkan kelembapan dari segi penawaran, katanya.

Sebaliknya, dasar fiskal lebih longgar daripada yang diperlukan dan unjuran yang diandaikan boleh meningkatkan aktiviti ekonomi dalam jangka pendek sambil mempertaruhkan pelarasan dasar yang tinggi pada kemudian hari.

Inflasi boleh jatuh lebih cepat daripada jangkaan di tengah-tengah peningkatan dalam penyertaan tenaga buruh, membolehkan bank pusat membawa rancangan pelonggaran ke hadapan.

Kecerdasan buatan dan pembaharuan struktur yang lebih kukuh daripada jangkaan boleh merangsang produktiviti, katanya.

Inflasi utama global dijangka jatuh kepada 5.9 peratus pada 2024 dan 4.5 peratus pada 2025 daripada purata tahunan 6.8 peratus pada 2023, dengan ekonomi maju kembali kepada sasaran inflasi berbanding pasaran baru muncul dan ekonomi membangun, menurut IMF. – BERNAMA