Muhammad Shafee Abdullah
Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Pagi ini media diberikan kejutan apabila dihalang daripada membuat liputan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan kini dalam proses memohon untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya baki hukumannya berjalan dari rumah.

Hari ini ketika prosiding bermula, peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon supaya prosiding  berjalan dalam kamar memandangkan ada beberapa isu sensitif.

Menurutnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh, identiti saksi yang berikrar afidavit bagi menyokong permohonan Najib adalah sensitif.

“Untuk makluman Yang Arif, semua dokumen sudah difailkan. Kami juga dimaklumkan responden (kerajaan) menerima cadangan prosiding dalam kamar memandangkan kandungan afidavit permohonan agak sensitif,” katanya lagi.

Setakat ini, media menunggu di luar mahkamah bagi mengikuti perkembangan seterusnya.

Pada awal bulan ini, Najib mendakwa bahagian tambahan atau titah adendum dalam pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dengan tahanan di rumah.

Beliau kemudian memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman titah adendum atau tambahan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April lalu menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co.

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Bekas Presiden UMNO itu memohon perintah untuk semua atau seorang responden melaksanakan titah Al-Sultan Abdullah dan dengan serta merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast