Ab Rauf merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Beli Cenderamata dan Menang, Aplikasi Jom Melaka Cari Makan serta Cabutan Bertuah Sempena TMM2024 di Banda Hilir, Melaka hari ini.

MELAKA – Melaka memperkenalkan program pelancongan baharu dikenali Melaka Nightlife atau Melaka Bila Larut Malam bagi merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, usaha untuk mencapai sasaran 18.7 juta pelancong sempena TMM2024 akan bermula pada setiap awal bulan bermula 1 Jun ini.

“Program Melaka Bila Larut Malam akan diadakan sebulan sekali pada setiap hari Sabtu pertama bermula jam 11 malam hingga 3 pagi bermula 1 Jun ini.

“Menerusi inisiatif ini, pelancong berpeluang mendapatkan harga tiket dengan hanya RM10 di kawasan pelancongan seperti muzium, Menara Taming Sari, Melaka River Cruise dan Zoo Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Beli Cenderamata dan Menang, Aplikasi Jom Melaka Cari Makan serta Cabutan Bertuah Sempena TMM2024 di Banda Hilir, Melaka hari ini.

Sehubungan itu, Ab Rauf turut menyeru lebih ramai pemain industri pelancongan terutama pengusaha makanan dan kraftangan beroperasi pada waktu berkenaan.

“Selain itu, sepanjang Sungai Melaka juga akan meriah dengan pertunjukan bunga api pada setiap satu jam sebab itu saya menyeru semua pemain industri pelancongan turut sama meraikannya.

“Pelancong yang menyertai program Melaka Nightlife ini juga layak membeli barangan Cenderamata Khas TMM2024 pada harga serendah RM10 sekali gus melayakkan mereka menerima kupon cabutan bertuah memenangi hadiah kereta,” katanya.

Pada majlis berkenaan, beliau turut mengumumkan tiga nama pemenang cabutan bertuah yang memenangi hadiah kereta.
masing-masing bagi bulan Januari, Februari dan Mac lalu

Secara keseluruhannya, sebanyak sembilan buah kereta, 24 buah motosikal serta sebuah bot berserta enjin ditawarkan kepada pengunjung dan pelancong yang bertuah bagi setiap sesi cabutan bertuah sepanjang tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast