Menteri Kesihatan, Datuk Seri DR. Dzulkefly melakukan lawatan kerja di dewan orang ramai, Kampung Orang Asli, di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 2 MEI 2024.

HULU SELANGOR – Semua pihak diingatkan supaya tidak menjadikan isu kesihatan awam sebagai senjata politik khususnya untuk mempengaruhi pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi N.06 Kuala Kubu Bharu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia tidak wajar dipolitikkan kerana komitmen kerajaan untuk menambah baik mutu kesihatan rakyat berterusan sepanjang masa dan tidak terhad kepada musim pilihan raya.

“Jangan politikkan isu kesihatan, kalau boleh jangan gunakan isu penjagaan kesihatan sebagai senjata (politik). Saya beritahu semua kawan-kawan saya sama ada kelab penyokong kerajaan atau pun pembangkang.

“Kita semua bersetuju dalam kesihatan, kita jangan politikkan,” katanya pada sidang media, Kuala Kubu Bharu hari ini.

Terdahulu Dr Dzulkefly menghadiri Program Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Dewan Orang Ramai, Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak,
Kuala Kubu Bharu.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan usaha penambahbaikan Hospital Kuala Kubu Bharu akan diteruskan walaupun calon Perpaduan, Pang Sock Tao gagal mempertahankan kerusi DAP itu.

“Kita sudah merancang lebih awal, berterusan usaha kita memperbaiki, menambahbaik penyampaian kesihatan di negara kita ini.

“Bukan sahaja di Selangor dan Kuala Kubu Bharu. Jadi menang tak menang itu persoalan lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette