CYBERJAYA – Sebanyak 272 unit pemasangan koklea implan telah dilaksanakan di bawah Program Implan Koklea Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak tahun 2019 sehingga tahun tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia melibatkan perbelanjaan lebih RM21 juta.
Menurut beliau, bermula 13 Disember 2023 hingga 21 Mac lalu, seramai 68,823 orang bayi baru lahir telah disaring pendengaran mereka sebelum mencapai umur 29 hari.
“Peruntukan sebanyak RM130 juta yang diumumkan oleh perdana Mmenteri dalam Belanjawan 2024 untuk aktiviti pencegahan penyakit turut melibatkan Program Saringan Pendengaran Bayi Baru Lahir.
“Langkah ini penting untuk memastikan anak-anak Malaysia boleh membesar dengan ceria tanpa halangan kekurangan upaya, agar keluarga Malaysia Madani supaya kekal afiat,” katanya.
Beliua berkata demikian pada Majlis Pertandingan Bakat Amal Hear Me’s Got Talent 2024 di Hospital Cyberjaya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkefly menambah, golongan orang kelainan upaya (OKU) merupakan sebahagian daripada masyarakat dan mereka mempunyai kesaksamaan hak serta peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain.
Tambah beliau, di samping itu, KKM turut memainkan peranan penting dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan yang terdiri daripada bukan penjawat awam dan pesara kerajaan atau anggota keluarga penjawat awam.
“Ia bagi pembiayaan sebahagian atau sepenuhnya kos rawatan, peralatan perubatan, peralatan rehabilitasi dan ubat-ubatan termasuklah permohonan pembelian peralatan alat bantu pendengaran atau pun Implan Koklea.
“KKM selaku Urusetia Tabung Bantuan Perubatan akan mempertimbangkan permohonan rakyat Malaysia termasuk Pesara Kerajaan atau anggota keluarga Penjawat Awam untuk tujuan ini agar individu yang mempunyai masalah pendengaran mendapat manfaat,” katanya. – MalaysiaGazette