Mauricio Pochettino. Foto The Independent.

LONDON – Mauricio Pochettino akhirnya meninggalkan Chelsea atas persetujuan bersama selepas satu musim setelah meletakkan kelab barat London tersebut dalam kelompok enam terbaik berbanding ke-12 Liga Perdana Inggeris (EPL) pengendali sebelum ini.

Pochettino mengambil keputusan meninggalkan Stamford Bridge selepas mengadakan perbincangan dengan pengarah sukan bersama kelab, Laurence Stewart dan Paul Winstanley, dan pemilik bersama Behdad Eghbali.

“Bagi pihak semua orang di Chelsea, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Mauricio di atas khidmatnya musim ini.

“Kepulangannya ke Stamford Bridge akan sentiasa dialu-alukan dan kami mengucapkan selamat maju jaya buatnya dalam karier kejurulatihan pada masa akan datang,” kata Stewart dan Winstanley.

Pochettino menyertai Chelsea menjelang kempen 2023/24 apabila menggantikan pengendali sementara Frank Lampard ketika pemilik baharu kelab itu Todd Boehly dan Clearlake Capital berusaha untuk menyegarkan lagi keadaan The Blues selepas prestasi hambar musim sebelumnya.

Dia menandatangani kontrak dua tahun, dengan kelab itu mempunyai pilihan untuk setahun lagi, tetapi pengendali berusia 52 tahun itu kini meninggalkan kelab tersebut selepas berjaya mengharungi kempen bergelora untuk menduduki tempat keenam sekaligus memastikan slot bola sepak Eropah musim depan.

Musim ini, Chelsea juga mara ke perlawanan Piala Liga namun tewas kepada Liverpool selepas masa tambahan di Wembley dan layak separuh akhir Piala yang menyaksikan ditewaskan Manchester City.

Perpisahan itu difahamkan berpunca daripada perbezaan pendapat antara pengendali kelahiran Argentina tersebut dan Chelsea berkenaan hala tuju dan strategi kelab tersebut bagi saingan musim depan.

Pochettino difahamkan kecewa dalam percubaan mendapatkan lebih kuasa yang menyaksikan dia mengambil keputusan menamatkan jalinan kerjasama daripada mengambil risiko kemungkinan kemeruduman prestasi Chelsea musim depan.

Biarpun Pochettino mendapat sokongan peringkat Lembaga kelab namun ia tidak sebulat suara dengan Eghbali yang dingin terhadap bekas pengurus Tottenham itu. – Agensi