Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain . Foto WAN NABIL NASIR, 11 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Polis belum mengambil keterangan daripada kolumnis Andrew Sia berhubung penulisannya yang mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengamalkan sistem aparteid.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Andrew yang berusia 57 tahun kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital yang terletak di Petaling Jaya.

“Andrew sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) sejak 2 April lalu selepas menjalani pembedahan di kakinya akibat jangkitan kuman.

“Bagaimanapun, polis akan mengambil keterangan dari pihak sebuah portal berita dalam talian kira-kira pukul 10 pagi esok,” katanya hari ini tanpa mendedahkan lokasi rekod keterangan tersebut.

Dalam perkembangan sama, polis setakat ini telah menerima sebanyak 60 laporan di seluruh negara berhubung artikel bertajuk Our Apartheid Academy, UiTM yang dimuat naik di sebuah portal.

“Kali ini, terdapat penambahan sebanyak 22 laporan polis baharu berbanding sebanyak 38 laporan yang diterima ke atas kolumnis itu sebelum ini,” katanya.

Kes sedang diteruskan siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta mengikut Seksyan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian.

Sabtu lalu, Razarudin mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan ke atas Andrew berhubung penulisan artikel yang didakwa mengkritik UiTM mengamalkan dasar aparteid.

Siasatan itu dibuat selepas polis menerima 14 laporan polis membabitkan isu terbabit di seluruh negara termasuk daripada pemimpin Pas dan juga Sayap Pergerakan Pemuda UMNO di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Semakan mendapati artikel itu dimuat naik pada 22 Mei lalu pukul 10.30 pagi di laman portal terbabit.

Polis juga akan memohon profiling dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mendapatkan butiran penulis untuk membantu siasatan.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.