Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton, Li Chunrong (kiri) bersama Timbalan CEO, Roslan Abdullah pada pelancaran X50 2024 di Proton Centre of Excellent, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Syarikat pengeluar kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd (Proton) hari ini melancarkan model sedia ada yang dipertingkatkan iaitu Proton X50 2024 dengan beberapa ciri tambahan baharu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton, Roslan Abdullah berkata, meskipun model baharu bagi segmen B itu telah dinaiktaraf, namun harga jualan masih dikekalkan.

“Penambaikan 20 ciri dalam X50 2024 ini bukannya percuma, ia melibatkan kos kira-kira RM6,000 untuk setiap unit.

“Kita melihat kepada permintaan dan ekonomi di mana Proton sentiasa mencari jalan dan peluang untuk memastikan produk kita berkualiti tapi dijual pada harga yang kompetetif dan mampu milik.

“Disebabkan faktor-faktor itu, kita bersetuju untuk menetapkan harga sama seperti mana X50 dilancarkan pada Oktober 2020, empat tahun lepas,” katanya kepada pemberita di Proton Centre of Excellent, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton, Roslan Abdullah

Proton X50 2024 dijual bermula dari RM86,300 untuk varian Standard, RM93,300 (Executive), RM101,800 (Premium) dan RM113,300 (Flagship).

Antara ciri tambahan baharu X50 2024 ialah pintu but belakang berkuasa, aplikasi ProtonLink untuk semua varian, sistem infotainment bersaiz 10.3 inci berserta 3.3 lebih pixel, penambahbaikan lebih dari 20 NVH untuk keselesaan yang lebih optimum dan kamera 360 darjah yang lebih jelas (3D).

Selain itu, Proton juga menawarkan pakej diskaun sehingga RM14,500 kepada 5,000 unit pembeli terawal termasuk diskaun sebanyak RM7,000, RM1,500 trade-in kereta (RM1,000 untuk kenderaan selain Proton) bersama dengan ciri tambahan berbaloi bernilai RM6,000.

Model X50 2024 untuk pasaran di Malaysia didatangkan dengan lima pilihan warna iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ocean Blue dan Passion Red.

Selain itu, model ini didatangkan dengan jaminan selama lima tahun (tanpa had perbatuan), pakej data sebanyak 1 GB setiap bulan selama lima tahun, percuma servis buruh sebanyak enam kali, kadar faedah pembiayaan dari 2.28 peratus dan Proton Insurance Programme (PIP). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast