Datuk Ngwe Hee Sem

MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) menerima satu kes keracunan makanan dipercayai berkaitan pengambilan kupang hari ini.

Bagaimanapun, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, keadaan pesakit lelaki berusia 34 tahun yang dirawat di Hospital Alor Gajah itu semakin sihat.

“Memang ada satu kes Hospital Alor Gajah dipercayai berkaitan kes keracunan kupang tapi masih dalam siasatan lagi oleh pihak Jabatan Perikanan sama ada ia sah atau sebaliknya.

“Pesakit dimasukkan ke wad sejak Sabtu lalu namun sudah sihat dan akan keluar dalam waktu terdekat,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.

Khamis lalu, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah dilaporkan berkata, analisis sampel air dan kupang di perairan Port Dickson mendapati kandungannya masih dicemari biotoksin berbahaya dan tidak dibenarkan untuk dimakan.

Menurutnya analisis terbaharu mendapati bacaan toksinnya sudah semakin berkurangan dan menghampiri kadar piawaian standard yang ditetapkan iaitu 800 per bilion (ppb).

“Sehingga kini larangan terhadap pengusaha kupang atau kerang untuk menjual kerang-kerangan atau dwicengkerang dari Port Dickson masih terpakai demi keselamatan pengguna,” katanya.

Pada 2 April lalu, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan terdapat satu kejadian keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang yang membabitkan lapan kes di Port Dickson.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Datuk Dr. Harlina Abdul Rashid dilaporkan berkata, kejadian mula dikesan pada 1 April apabila terdapat lapan kes daripada beberapa keluarga berbeza dan mempunyai sejarah memakan kupang

Hasil analisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur mendapati terdapat alga berbahaya spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast