MELAKA – Tindakan murni seorang penghantar makanan memberi laluan kepada sebuah ambulans berakhir tragedi apabila maut dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, Pengkalan Batu, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi itu, mangsa, Hilmi Saleh, 31, yang merupakan penghantar p-hailing meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan mendapati nahas berlaku apabila penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC itu dan sebuah Proton Wira dari arah Pengkalan Batu menuju ke Padang Jambu cuba memberi laluan kepada ambulans di belakang mereka.
“Kedua-dua kenderaan cuba melintas ke hadapan simpang berkenaan untuk memberi laluan kepada ambulans namun pada masa sama datang sebuah kereta jenis Honda Civic dari arah Ayer Keroh ke Bandaraya Melaka.
“Kereta dipandu wanita berusia 50 tahun itu yang berada di lorong tengah tidak sempat mengelak dan merempuh mereka,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, rempuhan mengakibatkan penghantar makanan terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta masing-masing sakit di bahagian dada serta cedera di leher.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis turut meminta saksi kemalangan untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette