MELAKA – Koperasi Surau Al Hikmah Melaka Berhad akan menambah baik pengurusan operasi lembu korban selepas tiga insiden haiwan ternakan korbannya terlepas pada Hari Raya Aidiladha sepanjang dua tahun berturut-turut.
Pengerusinya, Mohd Khairul Zaki Misbah berkata, dalam kejadian terbaru pada Isnin lalu, dua ekor lembu yang hendak dikorbankan pada Karnival Melaka Qorban House juga terlepas.
Kejadian berlaku ketika haiwan itu hendak diturunkan daripada lori tiga tan di pekarangan surau berkenaan sehingga kejadian itu tular di media sosial.
“Kejadian pertama yang tular berlaku sekitar 11 pagi apabila seekor daripada 15 ekor lembu bertindak agresif dengan terjun dari atas lori semasa petugas sedang mengikat leher lembu lain di hadapannya untuk dibawa turun.
“Haiwan berkenaan kemudian berlegar-legar di kawasan padang sekitar tujuh minit sebelum tiba-tiba berlari ke arah khemah petugas korban dan merempuh dua wanita berusia 40 an dan 50 an,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Tambah Mohd Khairul, rempuhan kuat menyebabkan wanita berusia 40-an itu melambung namun tidak melibatkan sebarang kecederaan serius sebaliknya hanya mengalami sakit-sakit badan.
“Selepas lebih sejam mencari dan mengejar lembu berkenaan, ia akhirnya berjaya ditemui di kawasan sawah kira-kira 1.5 kilometer dari kawasan surau sebelum disembelih di situ.
“Kejadian kedua pula berlaku pada kira-kira 3.30 petang disebabkan punca yang sama namun tidak melibatkan sebarang insiden rempuhan kerana haiwan terus berlari ke kawasan sawah dan berjaya disembelih 45 minit kemudian,” katanya.
Mengulas mengenai jumlah korban tahun ini, Mohd Khairul berkata, sebanyak 35 ekor lembu berjaya dikorbankan membolehkan 3,700 pek daging korban diagihkan kepada kepada 245 peserta, asnaf, penduduk dan masyarakat setempat.
Pada Hari Raya Aidiladha tahun lalu, insiden sama berlaku selepas seekor daripada 52 lembu korban terlepas dari ikatan sebelum melarikan diri sekitar pekarangan surau di Taman Seri Pandan itu.
Lembu terbabit bagaimanapun berjaya ditangkap taman bersebelahan dan tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada penduduk. – MalaysiaGazette