Ngo Wei Kian, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menghalang tugas anggota polis dalam satu sekatan jalan raya Jumaat lalu.

MELAKA – Seorang deejay kelab malamĀ  dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka di sini hari ini atas pertuduhan menghalang tugas anggota polis dalam satu sekatan jalan raya pada Jumaat lalu.

Tertuduh, Ngo Wei Kian, 26, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menghalang tugas polis daripada menjalankan tugas kewajipannya sebagai penjawat awam yang sah di sisi undang-undang di Jalan Tengkera dalam daerah Melaka Tengah pada 1.20 pagi 21 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Isshar mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Peguam, Cassian Anthony dalam rayuannya bagaimanapun mengemukakan beberapa faktor penafian untuk direkodkan mahkamah iaitu telah telah dipukul oleh empat anggota polis ketika kejadian.

Menurutnya, sebelum kejadian, anak guamnya itu menaiki kereta dipandu abangnya sebelum ditahan dalam sekatan jalan raya dijalankan polis dan dikeluarkan saman kepada abang tertuduh.

Tertuduh, katanya, telah keluar dari tempat duduk penumpang untuk bertanya saman yang dikenakan terhadap abangnya namun telah ditolak oleh anggota polis sebelum dipukul empat daripadanya menggunakan kaki sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

Hujahnya lagi, anak guamnya juga akan membuat laporan di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard dalam waktu terdekat dan memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dan menetapkan tarikh 24 Julai ini sebagai tarikh serahan dokuman serta sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast