MELAKA – Bermula dengan hanya menjual 500 cucuk sate sehari, kini meraih lebih 1,500 cucuk selepas menyertai Program Pendigitalan Usahawan (PPU) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), tahun lalu.
Itu rezeki dinikmati usahawan desa yang juga pemilik jenama Fahada Sate selepas diberi pendedahan secara langsung dan praktikal untuk beralih kepada teknologi baharu dan digital di bawah program berkenaan.
Noor Fhazila Mohamad, 48, berkata, sejak mewarisi perniagaan itu daripada arwah ibunya 14 tahun lalu, dia meneruskannya secara konvensional dengan menjual sate di tepi jalan menunggu pelanggan.
“Bagaimanapun selepas mendapat pendedahan mengenai program ini, saya cuba menyertainya PPU Siri 1 di Putrajaya tahun lalu untuk meningkatkan lagi hasil jualan.
“Hasilnya memang tidak disangka-sangka apabila saya diberi pendedahan untuk menghasilkan sate sejuk beku sehingga mampu menjual lebih 1,000 cucuk sehari selain jualan di gerai 500 cucuk.
“Lebih menggembirakan apabila buat pertama kalinya produk saya ini kini sedang dalam persiapan untuk menembusi pasaran luar negara ke Pattani, Thailand,” katanya.
Ibu kepada lima anak itu ditemui pemberita selepas perasmian Program PPU Siri 2 Zon Selatan yang disempurnakan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, Datuk Che Murad Sayang Ramjan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Program yang menghimpunkan 186 usahawan desa di seluruh negara itu diadakan selama dua hari untuk memudahkan usahawan desa mengadaptasi dan menceburi bidang perniagaan secara dalam talian melalui 12 modul dengan kerjasama 25 rakan strategik kementerian.
Antara kepakaran rakan strategik dalam program di bawah Program Desamall itu adalah pendigitalan kewangan, perkhidmatan Internet, platform e-dagang dan penghasilan kandungan.
Sementara itu, usahawan muda dari Terengganu, Wan Muhammad Isamuddin Wan Musa, 18, yang mengusahakan kerabu mi segera berkata, dia teruja untuk meneroka peluang program PPU itu buat kali pertama.
“Melalui program ini, saya tertarik dengan 12 modul ditawarkan selain diberi pendedahan latihan mengenai aplikasi digital perniagaan terkini dan bantuan-bantuan berkaitan diberikan KKDW dan rakan-rakan strategik terlibat.
“Setakat ini, produk saya sudah terjual sebanyak 200 pek dan yakin ia berpotensi untuk dipasarkan dengan lebih meluas seiring perkembangan teknologi terkini dan situasi ekonomi semasa,” katanya. – MalaysiaGazette