Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Status penggubalan perundangan berkaitan ‘akaun keldai’ antara isu yang menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, perkara itu akan dibangkitkan oleh RSN Rayer (PH-Jelutong) kepada Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Rayer meminta perincian mengenai status penggubalan perundangan berkenaan serta bagaimana perundangan itu dapat menangani peningkatan kes penipuan kewangan dalam talian yang membimbangkan berikutan perkembangan teknologi moden.

Akaun keldai adalah akaun bank individu mangsa yang digunakan penjenayah untuk menyembunyikan aktiviti haram mereka.

Pada sesi sama, Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) meminta Menteri Kerja Raya menyatakan sekiranya terdapat cadangan untuk menaikkan had nilai kerja bagi kontraktor G1 daripada RM200,000 kepada RM250,000 atau RM300,000 memandangkan harga barang yang semakin meningkat dan G2 boleh dinaikkan kepada RM600,000.

Sementara itu, pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan pula, Yeo Bee Yin (PH-Puchong) meminta Menteri Kesihatan menyatakan jumlah kes kanser baharu dari 2020 hingga 2023 serta tindakan untuk meningkatkan saringan kanser payu dara, kolon, serviks dan ovari dalam kalangan wanita selain saringan kanser paru-paru, kolon, prostat, nasofarinks dan hati dalam kalangan lelaki.

Turut menjadi tumpuan persediaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam menghadapi situasi ketidaktentuan iklim pada masa kini yang akan dibangkitkan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam).

Usai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024.

Turut tersenarai dalam aturan mesyuarat hari ini ialah bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 serta Rang Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 15 hari hingga 18 Julai ini. –  BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast