WASHINGTON- Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden bertegas untuk terus bersaing dalam pemilihan presiden, November ini meskipun didesak supaya berundur oleh ramai anggota parti Demorat.
Pemimpin berusia 81 tahun itu mengambil kesempatan sambutan pada 4 Julai untuk menunjukkan stamina dan ketajamann mentalnya untuk berkempen terutama apabila beliau kelihatan goyah semasa berdebat dengan calon Republikan, Donald Trump, 27 Jun lalu.
Dalam wawancaranya dengan ABC, Biden memberitahu George Stephanopoulos, prestasi buruknya disebabkan selsema yang sangat teruk dan keletihan selepas dua perjalanan ke Eropah.
Ramai pengundi Demokrat kini bimbang sama ada Biden boleh meneruskan tugas yang amat mencabar untuk empat setengah tahun akan datang, malah beberapa anggota dalam partinya menggesa beliau supaya menarik diri.
Naib Presiden, Kamala Harris, dilihat sebagai tokoh paling berpotensi bagi mengambil alih tempat Biden dalam pilihan raya 5 November jika beliau berundur, kata sumber.
Biden menghadapi halangan baharu dari dalam kalangan barisan parti iaitu Senator Mark Warner, seorang Demokrat sederhana yang dihormati, menjemput senator Demokrat ke mesyuarat pada hari Isnin untuk membincangkan kempen Biden.
The Washington Post melaporkan Warner sedang berusaha untuk meminta kumpulan itu menekan Biden untuk keluar dari perlumbaan.- Agensi